Followers

Tuesday, October 19, 2010

,,HeBatNya QiaM Itu,,

  Bimillahirrahmanirrahim,,
dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani,,
FIRMAN Allah bermaksud: "Wahai orang yang berselimut, bangunlah sembahyang tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat). Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit daripada separuh itu. Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya: dan bacalah al-Quran dengan 'Tartil' (perlahan-lahan). Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat (wahyu yang mengandungi perintah yang berat). Sesungguhnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya". (Surah Al-Muzzammil, ayat 1-6)

Umat Islam dianjur melaksanakan qiamullail (tahajud) pada bahagian akhir malam sebagai manifestasi kesyukuran kepada Allah atas segala nikmat-Nya yang begitu banyak dikurniakan kepada kita. Sesungguhnya solat pada akhir malam akan melahirkan kekuatan jiwa, memperkukuhkan keinginan dan azam untuk patuh serta taat kepada Allah.

Beribadat dan bermunajat kepada Allah pada malam hari, di kala insan lain sudah lama nyenyak dibuai mimpi indah. Ia suatu gambaran keikhlasan kepada Allah dan seterusnya membebaskan diri dari sifat riak yang boleh membakar seluruh amalan kebajikan.
Bermunajat dengan melaksanakan tahajud pada malam hari mengecewakan syaitan yang tidak jemu menggoda dengan pelbagai bisikan dan mendodoi manusia supaya terus lena hingga ke pagi hari.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Ketika kamu tidur, maka datanglah syaitan dengan mengikat ubun-ubunmu dengan tiga ikatan. Dan apabila ia terjaga dengan menyebut nama Allah, maka terlepaslah satu ikatan, jika ia terus berwuduk maka terlepaslah ikatan kedua, kemudian apabila diikuti dengan solat Qiamullail, maka terlepaslah ikatan yang ketiga dan pada waktu pagi berada dalam keadaan segar dan giat, jika tidak berbuat demikian, maka akan kencinglah syaitan dalam kedua-dua telinganya." (A-Misykuh)

Rasulullah SAW sentiasa mengingatkan kita berhati-hati supaya tidak diperdayakan syaitan laknatullah, jiwa yang tergoda dengan syaitan akan timbul sifat malas untuk melaksanakan ibadat, hati menjadi keras dan liat untuk mendengar serta mendekati ilmu keagamaan.

Daripada Ibnu Masud katanya, "Sudah disebut perihal lelaki di hadapan Nabi SAW. Katanya, lelaki itu berterusan tidur hingga subuh dan tidak bangun sembahyang lalu Nabi bersabda: "Sesungguhnya lelaki itu dikencing oleh syaitan di dalam telinganya." (Hadis riwayat Syaikhan dan an-Nasai)

Oleh demikian, menghidupkan malam hari dengan bertahajud dan bermunajat kepada Allah akan mendapat kasih sayang dari Allah dan kasih sayang Allah itu terpancar dari-Nya melalui sikap serta tindakannya.

Segala sikap dan tindakannya sentiasa di dalam pemeliharaan Allah, yang seterusnya orang lain pula apabila melihatnya akan timbul perasan kasih dan hormat akibat pancaran kasih sayang Allah kepadanya.

Firman Allah bermaksud: "Dan (dengan yang demikian) bersabarlah (wahai Muhammad) menerima hukum Tuhanmu (memberi tempat kepada mereka), kerana sesungguhnya engkau tetap terselamat dalam pemeliharaan serta pengawasan Kami. Dan bertasbihlah menemui Tuhanmu semasa engkau bangun. Dan juga hendaklah engkau bertasbih kepada-Nya pada waktu malam, dan ketika bintang-bintang tenggelam (pada waktu subuh)". (Surah al-Thur, ayat 48-49)

Allah menyediakan banyak pengurniaan-Nya terhadap orang yang sanggup menukar tempat tidur dan masa istirehatnya, tilam yang empuk, bangun dalam kesejukan untuk bersuci dan terus beribadah kepada Allah, dijanjikan kedudukan yang terpuji baik di dunia mahupun akhirat.

Sejarah lampau membuktikan bahawa Salahuddin Al-Ayubi seorang pemimpin tentera Islam dalam peperangan Salib hanya memilih orang yang mengerjakan qiamullail untuk bertempur di medan peperangan kerana mereka ini memiliki kekuatan jiwa dan keteguhan peribadi yang tinggi. Hasilnya, pihak Islam menang dalam peperangan itu.

Dalam satu hadis Rasulullah SAW menjelaskan bahawa barang siapa bersolat pada malam hari dengan sanggup bersengkang mata melaksanakan solat tahajud, Allah akan memberi sembilan kurniaan kepadanya. Lima kurniaan di dunia dan empat lagi di akhirat.

Sabda Rasulullah SAW, daripada Umar bin al-Khattab yang bermaksud: "Barang siapa yang mengerjakan solat malam, dan dia membangunkan solat, maka Allah memuliakan dia dengan sembilan perkara: Lima perkara di dunia dan yang empat lagi di akhirat.

Oleh itu, marilah sama-sama kita menyahut tawaran Allah untuk bangun menunaikan qiamullail iaitu ganjarannya terlalu besar nilainya, lebih besar dan bernilai dari dunia ini dan segala isinya. Janganlah sampai ayam yang tidak berakal itu lebih pintar dan lebih baik daripada kita. Seperti nasihat Luqmanul Hakim kepada anaknya, "Wahai anakku, janganlah engkau tidur di kala ayam jantan berkokok pada waktu fajar."

INFO 9 kemuliaan solat Tahajud

  • Dia dijaga oleh Allah daripada beberapa bencana.


  • Berkat ketaatannya, akan nampak pada wajahnya.


  • Dia disukai oleh hamba Allah yang soleh dan oleh semua manusia.


  • Ucapannya mampu mengeluarkan kata-kata yang penuh hikmah.


  • Diberi cepat mengerti dan mendapat ilmu pengetahuan.


  • Dia dibangunkan dari kubur dengan wajah yang putih berseri.


  • Diringankan hisabnya.


  • Melalui titian siratul mustaqim bagaikan kilat yang menyambar.


  • Diberi buku catatan amalannya melalui tangan kanannya di hari kiamat. (Raudhatul Ulama). 




  • Wassalam,,

    No comments:

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...